Skip to main content

169 - PENGALAMAN BERSALIN ANAK KETIGA

Bismillahirahmanirrahim
  • Jumaat 20.11.2015, saya dah rasa letih membawa perut malahan semasa mesyuarat LNPT petang itu saya dapat rasakan perut saya mengeras. Petang yang sama semasa bersembang dengan rakan pejabat, setiausaha Pengarah ada menyatakan entah-entah saya yang bersalin dahulu sebelum seorang staf yang dijangkakan bersalin minggu berikutnya. Mengikut pengiraan, saya ibu terakhir yang akan bersalin dalam senarai ibu hamil tahun 2015. 
  • Minggu sebelum itu mak ada tawarkan untuk menjaga Imaan dan  saya boleh berulang alik daripada pejabat ke rumah sehingga tarikh jangkaan bersalin pada 11.12.2015. Tetapi saya menolak kerana kasihankan suami tinggal sendirian walaupun suami pernah juga menanyakan perkara yang sama. Dan keletihan yang menjadi-jadi membuatkan saya memutuskan hujung minggu seterusnya (mulai 28.11.2015) saya mahu terus menginap di rumah mak. 

    Pagi 23.11.2015 (Isnin), saya terjaga pukul 3 pagi dan terasa ada sesuatu keluar. Sehingga hampir 4 pagi saya tidak boleh tidur dan mula merancang untuk cuti kecemasan. Saya tertidur semula dan terjaga sebelum azan Subuh. Saya bangun siapkan beg baju suami in case suami perlu bermalam di hospital. Semasa itulah saya rasa ada lelehan di dalam kain. Saya pergi kejutkan suami. Saya mandi dan solat subuh serta siapkan keperluan lain. Mujur semua beg dan barang keperluan berpantang saya dah hantar ke rumah mak. 

    Pagi itu, kami hantar Imaan ke rumah mak sebelum ke hospital. Saya masih relaks. Semasa pemeriksaan di kamar bersalin bukaan baru 1.5cm. Tiada rasa sakit. Dan doktor awal-awal lagi menyerahkan dokumen kebenaran untuk saya induce sekiranya tiada bukaan sehingga 3cm menjelang petang. Pagi itu saya antara ibu terawal sampai di kamar bersalin. Semakin lama semakin ramai ibu. Saya menanti di ruang kaunter kerana tiada kekosongan di wad bersalin. Dalam pada menanti saya makan apa sahaja yang diberi pihak hospital kerana tidak mahu sejarah bersalin anakpertama berulang kembali malahan saya beria menasihatkan kenalan baru yang mempunyai kes seperti saya untuk makan. Saya bertemu rakan sekolah menengah yang terpaksa menyerah diri untuk dibedah kerana bayi dalam perut dijangka besar. 

    Azan asar petang itu, saya diberi wad 3-3. Dari tengahari memang ada rasa mengeras setiap setengah jam tanpa rasa sakit. Malam itu, dalam pukul 10 malam saya dihantar ke kamar bersalin untuk induce. Rasa seriau mula menguasai diri. Saya bertembung dengan rakan sekolah menengah yang masih menanti di sana. Ramai sangat yang belum mendapat wad, kasihannya. Sepanjang di bilik 15 kamar bersalin, saya berulang alik ke bilik air.

    Dalam pukul 12.30 malam baru doktor membuat pemeriksaan dan bukaan baru 2cm! Maknanya memang saya kena induce juga. Selepas doktor masukkan ubat, saya diminta tidak bergerak selama 2 jam dan tidur. Dalam waktu itu, saya dah rasa kontraksi setiap 20 minit dan menurun kepada 15 minit. Mustahil untuk tidur! Tepat pukul 2.00 pagi saya dah rasa kontraksi setiap 10 minit.  Saya rasa mahu turun katil berjalan-jalan mengurangkan rasa sakit. Tetapi mengikut perkiraan waktu, selepas 2.30 pagi baru saya boleh bergerak tetapi selepas itu pulak la doktor nak monitor jantung bayi disebabkan saya dah turun air lebih 12 jam. Pengalaman yang hampir sama semasa melahirkan Imaan Maryam. Lebih 1 jam mesin CTG diletakkan di perut saya masa tu lah rasa nak menjerit tak tahan sakit kontraksi. Masa tu terfikir nak minta bantuan oksigen bagi mengurangkan sakit seperti pengalaman bersalin Inas Sarah. 
    http://ourlittleaffendijr.blogspot.my


    Dari dalam bilik 15, saya dapat dengar suara berjemaah meminta ibu lain push. Saya bersendirian yang tidak sabar nak push. Tapi saya pujuk hati untuk positif dan merayu-rayu kepada Allah untuk permudahkan saya bersalin anak ketiga ini. Sehingga 4.00 pagi saya dah memang tak boleh tahan rasa sakit yang semakin mencucuk. Saya meminta untuk Caeserian (sama macam pengalaman anak pertama). Semasa nurse datang untuk melihat graf CTG, saya maklumkan saya dah tak tahan dan bertanya jika saya mahu meneran. Tidak lama selepas itu, doktor yang memeriksa menyatakan bukaan baru 4 -5cm tetapi semasa itu saya dah separuh meneran. Semasa doktor yang lebih  senior datang, dia meminta saya bersabar. 2 kali meneran, pada 4.15 pagi saya selamat melahirkan seorang lagi khalifah. Seorang bayi perempuan seberat 2.9kg. Berat yang sama dengan Imaan Maryam 4 tahun yang lalu. Bayi saya diletakkan di dada sebelum doktor menjahit ‘sedikit’. Selepas selesai proses jahitan saya rasa mengilu dalam perut. Sakit sangat. Sakit dalam keletihan. Selepas ditukar uniform dan kertas alas, saya tertidur. 

    Selepas azan Subuh, saya mesej suami untuk datang ke kamar bersalin. Tetapi beliau tidak dibenarkan masuk. Tidak lama jururawat masuk membawa bayi sebelum dihantar ke nurseri bagi tujuan pemantauan doktor kerana mana-mana ibu yang air ketuban keluar selepas 24 jam, anak mereka perlu dipantau kerana dikhuatiri terdapat jangkitan. Saya meminta jururawat tunggu sebentar supaya suami mengazan dan mengiqamatkan anaknya. Saya memaklumkan suami tidak dibenarkan masuk dan tidak lama selepas itu, suami masuk menemui zuriat ketiganya. Ikut perancangan asal, suami akan menemani saya di kamar bersalin kerana kami telah menghadiri kelas peneman pada 9.11.2015 yang lalu. Saya mahu dia lihat sukarnya saya nak melahirkan zuriatnya tetapi perancangan Allah berbeza. Saya bersalin awal dari jangkaan masa yang sepatutnya. Selepas pukul 7.00 pagi suami keluar bersama uri untuk dibawa pulang ke rumah. Pagi itu, jururawat yang bertugas untuk menukar cadar terkejut bila dapati cadar penuh dengan darah. Bila saya maklumkan saya bersalin di situ, beliau terkejut kerana saya sepatutnya bersalin di bilik yang lain. 

    Selepas pukul 10.00 pagi baru saya dihantar ke wad 3-3. Selepas berehat seketika, saya gagahkan diri bangun untuk mandi. Bersalin kali ini saya lebih berdikari. Jika mengikut pengalaman sebelum ini, selepas bersalin suami yang akan memandikan saya. Saya benar-benar keletihan. Mesej rakan-rakan tidak saya jawab. Sehingga pihak pejabat menelefon ayah untuk dapatkan status terkini. Petang itu, suami membawa saya ke nurseri melihat puteri baru kami. Rupanya sama seperti Imaan Maryam. Dengan kata lain, iras muka suami. Ketiga-tiga anak kami semuanya mewarisi rupa  ayah mereka. 

    Semasa saya sampai ke nurseri baru saya tahu anak kena jaundice. Kepala puteri ketiga kami ada sedikit benjolan kerana saya meneran bukan pada masanya. Ini meningkatkan risiko jaundice. Dengan saya berdarah 0 lagi meningkatkan risiko anak jaundice. Sepanjang awal minggu berpantang bayi kecil kami perlu diambil darah untuk mendapatkan bacaan kuning. Memang meletihkan. Harapnya janganlah prolonged jaundice macam Inas Sarah. Menurut doktor, anak jaundice perlu dipantau kerana tahap kuning yang tinggi boleh menyerang bahagian otak. Selepas 14 hari, otak bayi mulai matang dan bayi tidak akan ditahan di wad sekiranya  masih tinggi. Malahan doktor meminta jangan risau kerana anak beliau sebelum ini jaundice sehingga 46  hari. 

    Puteri ketiga ini kami namakan INAS SOFEA AFFENDI. Membawa bersama nama kakak. Kakak Inas Sarah yang  hanya dipinjamkan 10.5 bulan. Anak ini lahir pada minggu ke 37. Awal dari kakak-kakak sebelum ini. Imaan Maryam lahir minggu ke 38, Inas Sarah pula lahir  pada minggu ke 39.

Comments

Popular posts from this blog

180 - PENGALAMAN: BILA ADA ULSER DALAM MULUT SOFEA

Bismillahirrahmanirrahim Baru-baru ni(Jumaat lepas) badan Sofea dedar-dedar..  Hari Sabtu pun sama. Bila malam badan jadi panas dan suhu meningkat ke 38++͎͒ Hari Ahad kami bawa ke klinik sebab beberapa kali air liur meleleh. Hari Ahad memang banyak klinik tutup maka kami tiada pilihan selain bawa ke satu klinik di Semabok.  Saya minta doktor periksa tekak sebab experience kakaknya selalu kalau demam ada tonsil di tekak. Dan kata doktor tekaknya merah sedikit. Doktor bagi ubat antibiotik. Hari Isnin saya notice ada bintik merah di dagu. Suhu badan 37 - 38 macam tu. Malam tu pulak meragam tengah malam. Tak mahu tidur atas katil. Saya perlu berdiri dan dukung bagi dia tidur. Bila saya duduk dia boleh sedar nak menangis. Dengan ayahnya pun tak mahu. Sampai 2-3 pagi tidur tak nyenyak. Minum susu pun tak mahu. Akhirnya pukul 4.00 pagi, mak saya bawa masuk tidur dalam buaian baru lena tidur. Hari Selasa saya terpaksa EL. Kami bawa ke klinik pakar kanak-kanak. On the way  ke klinik

114 - PEMASANGAN JUBIN GARAJ RUMAH SIRI 2

Bismillahirahmanirrahim                       Assalamualaikum Ini siri kedua selepas yang ini . Siap bersiri bagai.. Ini entri untuk kemaskini gambar projek memasang jubin garaj rumah kami. Alhamdulillah dah selesai pun projek ni. Terima kasih Allah atas nikmat rezekiMU. Proses kerja yang dilakukan ambil masa 8 hari. Saya rasa reasonable time dengan tenaga kerja yang hanya dua orang sahaja (sepasang suami isteri). Ini sebahagian gambar yang ada. Gambar-gambar selepas siap kerja tapi lantai belum dicuci, jadi abaikan saja kekotoran yang jelas itu. Kami dinasihatkan cuci selepas 3 hari menggunakan asid dan sabun serbuk. Bahagian parkir kereta Sisi rumah 1 Sisi rumah 2 Gambar sisi tu sama je.  Antara bahagian sisi dan tengah rumah tempat parkir kereta sebenarnya ada longkang kecik. Tapi uncle tu tutup. Tu yang bertingkat sikit gambar bawah ni. Lebihan tiles yang dipulangkan semula kepada pembekal. 26 keping x RM5 = RM130. Mulanya lebihan tiles ni nak pa

112 - PEMASANGAN JUBIN GARAJ RUMAH SIRI 1

Bismillahirahmanirrahim                       Assalamualaikum Rekabentuk garaj Dalam entri ini , saya pernah nyatakan perancangan untuk memasang jubin rumah. Dan di sebelah ni adalah design yang kami buat untuk garaj rumah kami. Ada la beberapa design yang dibuat dan ini hasil yang telah dimuktamadkan. Beria saya cuba mendapatkan survey daripada beberapa kawan. Akhirnya, kami memilih untuk membeli tiles ini di kawasan perumahan kampung. Walaupun sebelum ini kami dah survey kilang di sekitar Malim. Pembelian ini dibuat berdasarkan perbincangan. Kedai ini menawarkan penggantian tiles yang rosak dan sekiranya terdapat lebihan tiles, tiles ini boleh dipulangkan semula. Tiles ini dibeli dengan kadar RM5.00 per unit bagi ukuran 2 x 1 dengan jumlah keseluruhan ialah RM2,500.00. Dengan bantuan tuan kedai, kami bersetuju membeli 150 unit tiles gelap + 350 unit tiles berwarna coklat cerah berdasarkan design yang dibuat dengan mengambil kira ukuran 22 x 40